LAHAD DATU: Seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemui dalam keadaan berbalut kain di hadapan sebuah rumah di Kampung Burung, Jalan Bakawali di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail, berkata bayi itu ditemui orang awam pada jam 3.06 pagi dan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
“Keadaan bayi kini stabil, dan siasatan sedang dijalankan untuk mencari pihak yang bertanggungjawab. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuang bayi,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.
Dalam perkembangan lain, polis menahan seorang wanita berusia 21 tahun di sebuah hotel di sini kerana menawarkan perkhidmatan seks melalui aplikasi Michat dengan bayaran antara RM250 hingga RM350. Tangkapan dilakukan dalam Operasi Noda pada jam 10.30 malam tadi.
Selain itu, seorang lelaki berusia 24 tahun ditahan di Lorong Lahad Datu Square 1 pada jam 2.30 petang semalam kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian. Sebuah telefon pintar dengan aplikasi judi turut dirampas. - Bernama