SHAH ALAM: Seorang bayi lelaki berusia empat bulan dipercayai meninggal dunia di sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Bandar Saujana Putra dekat sini pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata laporan diterima daripada seorang doktor dari klinik di kawasan Bandar Saujana Putra pada 3.29 petang, Jumaat lepas (3 Jan) mengenai seorang bayi lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri telah dibawa oleh pengasuh Taska tersebut.
“Bayi tersebut tiba dalam keadaan pucat, bibir dan kaki kebiruan, tanpa nafas serta tiada tindakan balas pada anak mata. Pengadu segera melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan bantuan oksigen sebelum ambulan tiba.
“Bayi tersebut dihantar ke Hospital Putrajaya dan disahkan meninggal dunia pada 5.05 petang selepas usaha menyelamatkan selama lebih 30 minit gagal,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Akmalrizal berkata polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2011, dan keterangan pengusaha serta pekerja Taska telah diambil, namun tiada tangkapan dibuat setakat ini.
“Siasatan awal mendapati Taska tersebut tidak berlesen, dan permohonan lesen masih belum diluluskan,” katanya.