MELAKA: Seorang bekas pengarah Jabatan Belia dan Sukan Melaka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini, atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima rasuah berjumlah RM134,100, dua tahun lepas.

Pengakuan Khairul Adri Rosli, 51, direkodkan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Khairul Adri dituduh mengemukakan baucar pembayaran berjumlah RM126,100 bagi kerja membekal dan memasang concrete imprint di keliling laluan gelanggang tenis serta petanque di Kompleks Belia dan Sukan Melaka yang diketahui mengandungi butiran palsu kerana tidak dilaksanakan mengikut spesifikasi sebut harga.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 8 Dis 2023 di pejabat Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Melaka di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(2) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai terlibat, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, Khairul Adri turut didakwa atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM8,000 daripada seorang pemilik syarikat yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya, antara 25 Sept 2023 dan 25 Jun 2024 di sekitar daerah Melaka Tengah.

Mengikut pertuduhan, dia dituduh menerima wang tunai RM2,000 bagi setiap kesalahan, yang berkaitan dengan kerja menaik taraf gelanggang tenis dan petanque di kompleks sukan berkenaan, serta perkhidmatan pembersihan bangunan dan landskap Kompleks Sukan Masjid Tanah.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sharina Farhana Nor Sa’ari menawarkan jaminan RM25,000 bagi kesemua pertuduhan, dengan syarat pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Peguam T. Gajendran merayu jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya kini berkhidmat di tempat lain dan akan digantung tugas bermula hari ini serta menerima separuh gaji.

Hakim Elesabet membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan membenarkan syarat tambahan diminta pendakwaan serta menetapkan 15 Ogos untuk sebutan semula kes