KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini melepas dan membebaskan bekas penolong jurulatih boling daripada tuduhan mencabul seorang atlet Sukan Malaysia (SUKMA), tujuh tahun lepas.

Mat Salleh Jalani, 61, bebas daripada tuduhan tersebut selepas Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani memutuskan untuk menerima rayuannya bagi mengetepikan perintah sabitan dan hukuman penjara 18 bulan yang diputuskan Mahkamah Majistret Januari lepas.

Berdasarkan pertuduhan, Mat Salleh didakwa dengan sengaja menggunakan kekerasan jenayah terhadap atlet lelaki berkenaan yang ketika itu berusia 13 tahun dengan maksud mencabul kehormatannya.

Kesalahan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Akta 574) itu didakwa dilakukan semasa dalam kereta di parkir kereta sebuah pusat beli-belah di sini, kira-kira pukul 5 petang pada Mei 2017.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aisyah Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Nadzir Abdullah dan Marlisa Marzuki daripada Mohd Hayyatuddin & Co.