KUALA LUMPUR: Platform penghantaran makanan atas permintaan, foodpanda, menyeru agar kerajaan memperkukuh sokongan terhadap sektor ekonomi gig dalam Belanjawan 2026, termasuk pelaksanaan menyeluruh Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig, yang akan diluluskan kelak.
Pengarah Urusannya Tan Ming Luk berkata RUU itu satu pencapaian bersejarah dalam memperluas perlindungan statutori kepada pekerja gig di seluruh negara, dan pembentangan belanjawan akan datang wajar dijadikan medan untuk mengoperasikan perundangan tersebut ke arah membina komuniti gig yang lebih berdaya tahan.
“Ketahanan juga merangkumi aspek pemerkasaan kemahiran. Perlindungan berterusan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta inisiatif pembiayaan seperti i-TEKAD, dengan Program Usahawan Rider foodpanda telah menunjukkan kesan positif.
“Dalam masa yang sama, kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi memperluas Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga boleh membantu pekerja gig menyesuaikan diri dengan keperluan pasaran yang sentiasa berubah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut foodpanda, Belanjawan 2026 yang berpaksikan prinsip Ekonomi MADANI harus terus memberi tumpuan kepada pemerkasaan rakyat sebagai asas kepada pertumbuhan dan daya tahan ekonomi.
“Ekonomi gig hari ini memberi peluang kepada lebih 1.12 juta rakyat Malaysia dan menyokong ribuan perniagaan mikro serta kecil di seluruh negara.
“Bagi foodpanda, impaknya dapat dilihat setiap hari – daripada rakan penghantar yang menjana pendapatan mengikut masa sendiri, kepada peniaga tempatan yang berjaya mencapai lebih ramai pelanggan,” kata syarikat itu.
Tan berkata pihaknya turut mencadangkan agar skim pembiayaan mikro bagi keperluan asas seperti pembaikan kenderaan, serta peningkatan dalam pakej insurans yang direka khusus untuk komuniti gig, disediakan bagi membantu golongan ini terus menjana pendapatan secara mampan.
Menurut Tan, pendigitalan juga membolehkan peniaga mencapai lebih ramai pengguna, menambah baik operasi dan meningkatkan hasil perniagaan, justeru Belanjawan 2026 disaran agar meneruskan pemberian geran mikro, potongan cukai untuk penerimagunaan digital dan proses pemudah cara bagi perniagaan tradisional.
“Ketika Malaysia melangkah ke hadapan dalam agenda ekonomi digital dan hijau di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, sektor gig tidak harus dipinggirkan.
“Penambahbaikan kepada pakej P-Hailing Rahmah, peluasan program keselamatan seperti pandasafe serta insentif bagi penggunaan motosikal elektrik akan menyumbang kepada pembentukan komuniti gig yang lebih selamat dan lestari,” katanya.
Beliau menzahirkan harapan agar kerajaan terus menyokong sektor ini melalui dasar-dasar mesra perniagaan yang menggalakkan inovasi dan pertumbuhan inklusif.
“Di foodpanda Malaysia, kami kekal komited sebagai rakan jangka panjang kepada kerajaan dan pihak industri dalam membentuk ekonomi gig yang memperkasa pekerja, memperkukuh komuniti dan menyumbang secara bermakna kepada perjalanan Malaysia ke arah ekonomi bernilai tinggi berasaskan digital,” kata Tan - Bernama