PUTRAJAYA: Bilangan penganggur pada bulan September 2024 terus menurun kepada 555,300 dengan kadar pengangguran 3.2 peratus, kata Statistik Tenaga Buruh September dan Suku Ketiga 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata bilangan penganggur yang semakin berkurangan (Ogos 2024: 558,500 orang) dan peningkatan bilangan penduduk bekerja adalah susulan prestasi ekonomi negara yang memberangsangkan dan kedudukan pasaran buruh negara pada September 2024 kekal kukuh.
“Oleh itu, bilangan tenaga buruh terus berkembang pada September dengan pertambahan sebanyak 0.1 peratus mencatatkan 17.24 juta orang (Ogos 2024: 17.22 juta orang).
“Sehubungan itu, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang lebih tinggi direkodkan iaitu pada 70.5 peratus, meningkat sebanyak 0.1 mata peratus berbanding bulan sebelumnya (Ogos 2024: 70.4 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut mengenai pengangguran, beliau berkata kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun meningkat kepada 10.5 peratus, naik 0.1 mata peratus daripada bulan lepas dengan 304,200 orang (Ogos 2024: 303,000 orang).
Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun turun kepada 6.3 peratus, merekodkan 420,100 penganggur belia (Ogos 2024: 428,500).
Mengenai prestasi keseluruhan bagi suku ketiga tahun (ST3) 2024, Mohd Uzir berkata bilangan tenaga buruh menunjukkan trend positif, meningkat sebanyak 0.7 peratus suku tahun ke suku tahun kepada 17.26 juta orang (ST2 2024: 17.15 juta orang).
“Bilangan penduduk bekerja meningkat sebanyak 0.7 peratus kepada 16.72 juta orang (ST2 2024: 16.59 juta orang) manakala penganggur berkurang sebanyak 1.8 peratus kepada 547,900 orang (ST2 2024: 557,800), merekodkan kadar pengangguran 3.2 peratus pada ST3 2024 berbanding 3.3 peratus pada ST2 2024,” katanya.
Dari segi kadar pengangguran dan KPTB mengikut negeri, Kedah mencatatkan kadar pengangguran yang paling rendah iaitu 1.6 peratus pada suku tahun berkenaan, diikuti Selangor (1.9 peratus) manakala Pulau Pinang dan Putrajaya masing-masing pada 2.0 peratus.
Selangor mencatatkan KPTB tertinggi iaitu pada 76.3 peratus, diikuti Kuala Lumpur (74.9 peratus) dan Johor (71.4 peratus).