SEPANG: Pemilik akaun Facebook ‘Adeline Chang’ didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang di sini selepas mengaku bersalah memulakan penghantaran komunikasi jelik melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun melalui media sosial Mei lepas.

Chang Pei Yi, 24, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Berdasarkan pertuduhan, pada 30 Mei pukul 11 malam wanita itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu gambar beserta teks dalam bahasa Mandarin yang mengandungi kata-kata kesat yang jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Hantaran itu dilihat pada 1 Jun lepas, kira-kira 8 pagi di MCMC Tower 1, Jalan Impact, di Cyberjaya.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.

Seksyen 233 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Nazrul Nizam Mohd Zameri manakala Chang diwakili peguam Muhammad Rhastdan Abdul Wahab.

Terdahulu Nazrul Nizam memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal ke atas OKS kerana perbuatan itu tidak boleh dipandang remeh dan dianggap buli siber selain melibatkan maruah seorang kanak-kanak.

Bagaimanapun Muhammad Rhastdan memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya menerima antara RM1,000 hingga RM2,000 bagi perkhidmatan ‘review’ barangan dalam talian.

Beliau berkata anak guamnya juga menghidapi penyakit tiroid dan kini telah menangguhkan pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) atas faktor kewangan selain mendapat kaunseling secara berkala bagi rawatan psikologi.

Ahmad Fuad sebelum menjatuhkan hukuman berkata perbuatan OKS itu menyebabkan maruah kanak-kanak dan keluarga itu tercalar, dan turut mengingatkan bahawa rakyat tertakluk kepada prinsip Rukun Negara, terutamanya aspek kesopanan dan kesusilaan.

Beliau turut menasihatkan OKS supaya tidak menjadikan masalah peribadi sebagai alasan memanjangkan isu sehingga memberikan kesan jangka panjang kepada orang lain yang tidak berdosa, dan dalam ini adalah kanak-kanak berkenaan.

“Kamu kena ingat kedudukan kamu sebagai seorang pempengaruh, kamu kena buat hantaran yang baik-baik sahaja,” katanya.

Chang kemudiannya membayar denda tersebut.

Pada 23 Jun lepas, MCMC dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia telah merakam percakapan Chang susulan aduan diterima oleh pihak suruhanjaya terhadap pemilik akaun Facebook ‘Adeline Chang’ yang dipercayai memuat naik gambar seorang kanak-kanak beserta kapsyen bersifat jelik.