Your Title

IPOH: Seorang Pegawai Penyiasat Polis Trafik memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak sempat menyiasat elemen memandu secara melulu atau merbahaya dalam kejadian perlanggaran membabitkan seorang pelajar sekolah tingkatan lima pada 15 Dis lepas.

Saksi pendakwaan ke-29 Inspektor Jong Pit Chao, 37, berkata ini kerana semasa sedang menyiasat kes itu, beliau telah diarahkan untuk menyerahkan siasatan kes berkenaan kepada pegawai penyiasat baharu iaitu ASP Chua Sze Chuan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

“Siasatan saya terhadap kejadian tersebut seperti sedia maklum hanya 23 jam pada hari pertama. (Oleh itu) peranan saya sampai di lokasi kejadian...daripada apa yang saya nampak di lokasi kejadian, saya pergi kepada keterangan-keterangan lisan saksi awam yang berada di tempat kejadian,” katanya yang ketika itu bertugas sebagai pegawai penyiasat trafik IPD Ipoh.

Jong berkata beliau tidak sempat untuk membuat siasatan lanjut ke atas elemen sama ada memandu melulu atau merbahaya dalam perlanggaran tersebut untuk dimasukkan dalam siasatannya, kerana siasatan ditukar kepada pegawai penyiasat bahagian jenayah.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Afzainizam Abdul Aziz pada perbicaraan kes bunuh itu di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet, di sini hari ini.

Mohd Nazri Abdul Razak, 45, seorang pegawai kanan polis berpangkat DSP, didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati di sini antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Dis 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.

Kepada soalan Afzainizam berhubung tindakannya memadam rakaman video kamera papan pemuka yang diterima daripada seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp, Jong menegaskan tiada keperluan untuk beliau menyimpan rakaman berkenaan.

“Saya telah majukan mesej itu kepada ASP Chua dan saya maklumkan kepada beliau ini adalah rakaman yang saya terima daripada saksi. Saya jugak maklumkan kepada beliau untuk menghubungi saksi,“ katanya.

Perbicaraan bersambung 6 Jan 2025.