LANGKAWI: Langkah memperkenalkan cabut undi dalam pemberian penawaran kerja kepada kontraktor G1 hingga G4 membuktikan kepihatinan dan komitmen Kerajaan MADANI terhadap nasib dan masa hadapan kontraktor terbabit.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata wadah dan kaedah yang telus itu dapat memastikan kontraktor kelas berkenaan peluang untuk melibatkan diri dalam kerja-kerja pembaikan infrastruktur jalan Persekutuan.

“Perolehan projek kecil secara undian dan terbuka oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah, Perlis dan Pulau Pinang melalui konsesi Jalan Persekutuan ini bertujuan memberi pengalaman kepada kontraktor G1 hingga G4 sebelum layak mendapat projek secara tender terbuka.

“Syarat kepada kontraktor yang terlibat dalam cabutan ini adalah perlu berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan mempunyai Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PKK) serta perlu mempunyai Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Nanta menyaksikan proses Cabutan Undi bagi Tawaran Kerja Pelaksanaan dan Penyenggaraan Jalan Persekutuan Seluruh Malaysia yang merupakan sebahagian daripada Inisiatif Bajet 2024 Bagi Kontraktor Kecil Bumiputera G1 hingga G4.

Program cabutan undi itu bagi Kedah, Perlis dan Pulau Pinang membabitkan peruntukan sebanyak RM26.98 juta dengan melibatkan 45 kerja.

Beliau berkata Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan Perbelanjaan Pembangunan bernilai RM300 juta dalam Belanjawan 2024 bagi Kerja-Kerja Penyenggaraan yang akan dikendalikan oleh kontraktor G1 hingga G4 di Jalan Persekutuan seluruh Malaysia.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM200 juta diperuntukkan bagi 336 kerja yang akan ditawarkan kepada kontraktor di Semenanjung Malaysia, manakala selebihnya iaitu RM100 juta yang melibatkan 122 kerja akan disalurkan kepada Sabah, Sarawak dan Labuan.

Nanta berkata pelaksanaan melalui kerja-kerja cabutan undi itu sedikit sebanyak dapat memastikan syarikat kontraktor G1 hingga G4 mampu membekal bahan dan memberikan perkhidmatan yang lebih kompetitif.

“Selaras dengan itu, kerja-kerja yang ditawarkan nanti perlu disiapkan sepenuhnya pada tahun ini dengan mengikut Jadual Perancangan yang telah ditetapkan,” katanya.