PENAMPANG: Cadangan untuk memperluas pengajaran subjek Bahasa Kadazandusun di sekolah meliputi empat bahasa etnik lain di Sabah telah dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan untuk pertimbangan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata empat bahasa etnik utama yang dicadangkan itu ialah bahasa Tatana di Kuala Penyu, Kadazan Tangaa di Penampang, Murut Timugon di Tenom, dan Dusun Lotud di Tuaran.
Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu berkata beliau bersama delegasi dari Sabah telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bersama pihak Kementerian Pendidikan pada tahun lepas.
“Yang Berhormat Fadhlina seterusnya bersetuju supaya satu jawatankuasa khas di Kementerian Pendidikan ditubuhkan untuk meneliti cadangan ini. Saya akan terus menyusuli segala usaha untuk menjayakan cadangan berkenaan.
“Selama ini, subjek Bahasa Kadazandusun di sekolah hanya berasaskan Dusun Bunduliwan,“ katanya dalam kenyataan selepas merasmikan sambutan Odou do Kaamatan di Kampung Mahandoi di sini hari ini.
Ewon berkata usaha memperkasakan kurikulum bahasa etnik itu ialah inisiatif berterusan pelbagai pihak termasuk Yayasan Bahasa Kadazandusun (KLF), Momogun National Congress (MNC) dan Persatuan Bahasa Etnik Sabah.
Beliau berkata kementeriannya turut menyokong usaha itu menerusi penyaluran peruntukan khas kepada empat persatuan bahasa etnik berkenaan bagi tujuan pembangunan modul, buku kerja dan buku teks.
“Pengajaran empat bahasa etnik Sabah ini boleh dilaksanakan secara rintis di sekolah-sekolah terpilih. Misalnya, di Kuala Penyu, pengajaran Bahasa Tatana lebih sesuai berbanding penggunaan dialek Bunduliwan,“ katanya.
Menurut Ewon, Sabah boleh mencontohi pelaksanaan pengajaran bahasa etnik di sekolah-sekolah kerajaan di Sarawak yang telah melaksanakan pengajaran Bahasa Iban dan Bahasa Bidayuh secara rintis.
“Usaha ke arah ini sedang dibuat. Rombongan dari Sabah juga telah membuat lawatan ke sekolah di Sarawak bagi melihat sendiri pelaksanaan pengajaran bahasa etnik Bidayuh terbabit sebagai tambahan kepada pengajaran Bahasa Iban,” katanya.