BEIJING: China telah meluluskan beberapa permohonan lesen eksport bagi barangan berkaitan nadir bumi, berikutan permintaan global yang meningkat terhadap unsur nadir bumi sederhana dan berat yang didorong oleh industri seperti robotik dan kenderaan tenaga baharu, menurut Kementerian Perdagangan pada Sabtu.
Jurucakap kementerian itu berkata barangan berkaitan nadir bumi mempunyai ciri dwi-guna untuk tujuan ketenteraan dan awam, sambil menegaskan bahawa pelaksanaan kawalan eksport ke atas barangan berkenaan selaras dengan amalan antarabangsa.
Menurut beliau, kawalan itu bertujuan untuk melindungi keselamatan dan kepentingan negara dengan lebih baik serta memenuhi kewajipan antarabangsa berkaitan pemantauan senjata, yang mencerminkan komitmen China terhadap keamanan dunia dan kestabilan serantau.
China akan terus mengukuhkan semakan terhadap permohonan yang mematuhi peraturan dan bersedia untuk meningkatkan komunikasi serta dialog dengan negara berkaitan mengenai kawalan eksport bagi memudahkan perdagangan yang patuh, kata jurucakap itu.