KUALA LUMPUR: Polis telah menyerahkan kertas siasatan berhubung dakwaan empat anggotanya terlibat dalam kes kehilangan barang kemas milik seorang wanita yang meninggal dunia dalam kereta pada 1 Okt lepas kepada Pejabat Peguam Negara (AGC), semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata kertas siasatan berkenaan sebelum ini telah diserahkan kepada Bahagian D5 (Pendakwaan / Undang-Undang) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Kesemua anggota polis terbabit yang ditahan reman tiga hari hingga Sabtu lepas, telah dibebaskan dengan jaminan polis,“ katanya pada sidang media selepas menghadiri program Pendekatan Kesedaran Kes Jenayah Seksual dan Penipuan Dalam Talian di Taman Tasik Metropolitan Kepong, di sini, hari ini.

Rusdi berkata pihaknya juga mencadangkan pertuduhan terhadap suspek di mahkamah dan buat masa ini suspek masih bertugas.

“Status mereka (anggota polis) masih bertugas dan kita menunggu tindakan lanjut,“ katanya.

Pada Jumaat lepas, empat anggota polis telah ditahan untuk membantu siasatan berhubung kes kecurian barang kemas didakwa milik seorang wanita yang ditemukan meninggal dunia dalam kereta di kawasan parkir sebuah kondominium di Setapak, di sini.

Pada awalnya kes telah diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP), namun selepas memperoleh beberapa keterangan, kes telah diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.