Your Title

TASEK GELUGOR: Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes samun sebuah kedai runcit dengan menggunakan parang di Jalan Pokok Machang, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Anuar Abdul Rahman berkata berdasarkan siasatan terhadap satu video tular, kejadian berkenaan didapati berlaku semalam.

“Polis turut menerima laporan berkaitan kejadian itu semalam daripada seorang wanita iaitu pemilik kedai runcit itu yang memaklumkan pekerjanya seorang lelaki warga Pakistan telah disamun semasa bekerja di premis perniagaan terbabit.

“Suspek bersenjatakan parang telah mengambil wang jualan kedai berjumlah RM2,500 sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal bernombor pendaftaran tidak dikenal pasti,“ katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan awal mendapati kejadian berkenaan dirakam oleh kamera litar tertutup di situ.

Anuar berkata setakat ini wajah suspek tidak jelas kerana dia memakai topi keledar dan penutup muka berwarna gelap.

Kes katanya disiasat mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan manakala orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Muhamad Ikram Zulkifli menerusi talian 04-576 2222 (sambungan 2275) atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.