KUALA LUMPUR: Seorang bekas kerani hotel dijatuhkan hukuman penjara 20 hari dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri duit majikannya lebih RM4,000, minggu lepas.

Majistret S. Mageswary memerintahkan hukuman penjara terhadap Pamela Lynn Albert Mentri, 37, itu bermula hari ini dan dipenjara sebulan jika gagal membayar denda.

Wanita itu, yang ketika kejadian bekerja sebagai kerani didakwa mencuri wang berjumlah RM4,129.60 dari peti wang di sebuah hotel di Jalan Sultan Ismail di sini, antara 3 hingga 16 Julai.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian pengurus keselamatan hotel itu (pengadu) mendapati tertuduh telah mengambil wang tersebut untuk kegunaan sendiri dan tertuduh kemudian mengaku melakukan perbuatan itu selepas ditanya oleh pengadu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Sareeka Balakrishnan memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.

Peguam Law Min yang mewakili tertuduh memohon hukuman penjara dan denda paling minima atas alasan anak guamnya mempunyai keluarga dan menanggung kos perubatan ibu dan bapanya.