BALIK PULAU: Polis menahan lima lelaki dipercayai terlibat dalam kes curi kabel membabitkan kerugian RM100,000 di sebuah tapak pembinaan di Bayan Baru di sini dalam kejadian Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata lima lelaki berumur 23 hingga 48 tahun itu ditahan secara berasingan di Batu Feringghi dan Bandar Perai Jaya dekat sini semalam dan Rabu hasil maklumat awam serta risikan.

“Pihak polis menerima laporan daripada pekerja tapak pembinaan yang mendapati empat dram kabel bernilai RM100,000 telah hilang dipercayai dicuri ketika dia datang ke situ pada 8.45 pagi, Isnin.

“Bertindak daripada laporan itu, polis melancarkan operasi sebelum berjaya menahan lima lelaki terbabit dan merampas pelbagai barangan yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah mencuri kabel,“ katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata antara yang dirampas ialah kereta Perodua Aruz, alat gunting dawai, beg pakaian, pemotong wayar dan pemotong serta vest pekerja berwarna hijau.

Kamarul Rizal berkata polis masih menjalankan siasatan lanjut dan setakat ini, polis tidak menolak kemungkinan lima suspek itu dipercayai menyamar sebagai pekerja di situ sebelum mencuri kabel-kabel berkenaan.

Beliau berkata kesemua lima suspek yang tidak bekerja itu kini direman selama empat hari hingga 19 Ogos bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.