JOHOR BAHRU: Cuti sekolah yang bermula pada 29 Mei lepas bukan sahaja membawa keceriaan kepada pelajar dan keluarga, tetapi juga menjadi limpahan rezeki buat golongan penjaja kecil, pengusaha inap desa dan komuniti setempat di sekitar kawasan tumpuan pelancong di negeri ini.
Tinjauan Bernama di beberapa lokasi popular termasuk Dataran Bandaraya Johor Bahru, Zoo Johor dan Hutan Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mendapati kehadiran pelancong domestik meningkat mendadak sejak awal cuti sekali gus memberi lonjakan pendapatan kepada peniaga makanan jalanan, penjual cenderamata dan pengusaha rumah inap.
Peniaga makanan Halimah Abu Bakar, 48, berkata jualannya pada musim cuti sekolah ini meningkat 50 peratus susulan pertambahan jumlah pelanggan yang hadir di gerainya.
“Kalau hari biasa kami terima kira-kira 100 pelanggan, tetapi semasa musim cuti jumlah itu meningkat hingga 150 orang sehari. Kebanyakan pelanggan yang datang adalah dari luar negeri serta Singapura.
“Walaupun kami perlu membuka gerai lebih awal dan pulang lewat malam, keletihan itu berbaloi kerana pendapatan harian meningkat hampir tiga kali ganda berbanding hari biasa,” katanya ketika ditemui Bernama di gerainya yang terletak di sekitar Hutan Bandar MBJB, di sini hari ini.
Sementara itu, penjaja aiskrim Hasimi Md Isa, 41, berkata musim cuti sekolah ibarat “musim menuai” yang dinanti-nantikan.
“Cuti sekolah ini jualan aiskrim saya boleh mencecah lebih RM50 sehari berbanding RM30 sehari. Sememangnya cuti sekolah ini detik yang dinantikan bagi penjaja-penjaja setempat berikutan pertambahan jumlah kehadiran pelancong ke negeri ini,” katanya.
Kehadiran pelancong dari luar Johor seperti Kuala Lumpur, Melaka dan Pahang turut menyumbang kepada peningkatan aktiviti ekonomi tempatan khususnya pengusaha inap desa di sekitar lokasi tumpuan.
Suraya Abd Majid, 38, berkata kesemua unit inap desanya yang diiklankan di platform digital sudah ditempah seminggu awal sebelum cuti bermula, menunjukkan permintaan yang tinggi terhadap penginapan mampu milik di luar bandar.
“Ramai keluarga turut memilih untuk tinggal di homestay sebab mereka boleh masak dan berjimat. Homestay juga menjadi pilihan kerana fasilitinya yang lebih mesra terhadap keluarga yang besar.
“Untuk musim cuti sekolah ini sahaja, homestay saya di Kempas telah ditempah sepenuhnya hingga 7 Jun. Malah, saya sering menerima panggilan yang ingin tempah homestay dalam tempoh dua ke tiga hari kebelakangan ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Pada 29 Mei lepas, media melaporkan Exco Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor K. Raven Kumar memaklumkan sebanyak 80 peratus tempahan bilik hotel di kawasan tumpuan pelancongan di Johor, penuh bersempena dengan cuti sekolah penggal pertama.
Cuti sekolah dijangka berakhir pada 10 Jun ini, dan rata-rata peniaga, penjaja dan pengusaha inap desa setempat berharap momentum ini dapat berterusan menjelang Tahun Melawat Johor 2026.