KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaaan hari ini mempersoalkan sijil cuti sakit dan ketidakhadiran Tun Daim Zainuddin ke mahkamah sejak bekas Menteri Kewangan itu didakwa atas pertuduhan gagal mengisytiharkan harta pada Januari lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen bahawa Daim, 86, tidak hadir pada prosiding hari ini dan pihaknya menerima sijil cuti sakit daripada pihak pembelaan yang dikeluarkan Hospital Assunta semalam, namun tiada sebarang alasan mengapa tertuduh dimasukkan ke hospital itu.

“Kita minta pihak hospital terbabit memberi laporan penuh mengenai keadaan Tun Daim dan kita mahu doktor yang merawat Tun Daim untuk datang beri penjelasan mengenai keadaan Tun Daim sekarang.

“Kita juga mahu nursing sister yang tandatangan sijil cuti sakit untuk datang ke mahkamah dan beri penjelasan atas sebab apa Tun Daim dimasukkan ke hospital, kerana tiada sebarang alasan diberikan kenapa beliau masuk hospital dan bila akan dibenarkan pulang,” katanya.

Mengenai permohonan Daim untuk meminda notis permohonan bagi merujuk persoalan undang-undang berkaitan pertuduhan dihadapinya, Law mempersoalkan sama ada betul atau sebaliknya ia arahan daripada Daim kerana pindaan tersebut hanya dibuat semalam.

Law berkata permohonan agar Daim menjalani pemeriksaan mental bagi memastikan beliau layak dibicarakan atau sebaliknya perlu didengar terlebih dahulu sebelum prosiding pendengaran bagi permohonan merujuk persoalan undang-undang dijalankan.

“Ini kerana sekiranya diandaikan Tun Daim tidak fit untuk hadir ke mahkamah, maka prosiding-prosiding yang selepas ini akan jadi tidak sah dan terbatal,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry pula berkata melihat pada rekod mahkamah, tertuduh hanya hadir ke mahkamah sekali sahaja sejak beliau didakwa pada Januari lepas dan pihak pembelaan telah memohon pengecualian kehadiran Daim ke mahkamah melalui sijil cuti sakit daripada Hospital Assunta.

“Perkara ini perlu diberi pertimbangan dan penekanan yang khusus memandangkan ia memberi satu kesan kepada mahkamah memandangkan tertuduh gagal mematuhi arahan-arahan yang diberikan oleh mahkamah sepertimana jaminan diberikan oleh mahkamah kepada tertuduh.

“Alasan tertuduh tidak hadir ke mahkamah tidak boleh dijadikan satu sandaran, memandangkan alasan diberikan itu tidak mengikut pekeliling atau arahan daripada Ketua Hakim Negara berkenaan dengan penangguhan atau ketidakhadiran tertuduh ke mahkamah,” jelasnya.

Mohamad Fadhly berkata sijil cuti sakit itu tidak menyatakan Daim ‘unfit’ untuk hadir ke mahkamah hari ini selain tandatangan pada sijil tersebut adalah daripada ‘nursing sister’ bukan pengamal perubatan.

“Mahkamah perlu beri arahan tegas kepada tertuduh jika beliau ingin mohon penangguhan, mohon untuk tidak hadir ke mahkamah, segala peraturan ditetapkan perlu dipatuhi supaya ini boleh dijadikan sebagai satu sandaran, bukan sahaja kepada mahkamah ini tetapi kepada mana-mana Mahkamah Sesyen dan Majistret,” katanya.

Sementara itu peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar mewakili Daim mengesahkan bahawa anak guamnya telah dimasukkan ke Hospital Assunta.

“Ini salah faham, pihak kami mohon pendengaran permohonan pendakwaan agar Tun Daim menjalani pemeriksaan mental ditangguhkan bukan kerana Tun Daim masuk hospital, sebaliknya kerana saya baharu dilantik sebagai peguam dan terdapat pindaan terhadap permohonan bagi rujuk persoalan undang-undang.

“Saya juga menerima arahan untuk meminda notis permohonan Tun Daim bagi merujuk persoalan undang-undang sebelum anak guam saya dimasukkan ke hospital. Oleh itu, kedua-dua pihak memerlukan masa tambahan bagi menyediakan hujahan,” katanya.

Hakim Azura Alwi kemudian berkata beliau tidak mahu isu ketidakhadiran Daim ke mahkamah diperbesarkan kerana beliau telah mengeluarkan perintah supaya kehadiran Daim dikecualikan hari ini.

“Mahkamah menetapkan 20 Nov ini untuk pendengaran permohonan pendakwaan untuk tertuduh menjalani pemeriksaan mental dan tertuduh perlu hadir pada prosiding itu,” katanya.

Pada 29 Jan, Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Isterinya Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, 67, pula didakwa pada 23 Jan atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.