• 2025-10-02 03:33 PM

SEPANG: Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang menghampiri perairan Gaza dengan membawa bekalan bantuan kepada rakyat Palestin bertukar menjadi krisis antarabangsa apabila beberapa kapal dalam konvoi itu, termasuk yang membawa rakyat Malaysia, dipintas dan ditahan oleh Tentera Laut Israel di zon merah Laut Mediterranean malam tadi waktu Gaza.

Misi GSF, antaranya melibatkan 10 kapal membawa 23 rakyat Malaysia untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, dijadualkan tiba di pesisiran pantai wilayah berkonflik itu sekitar 6.32 petang ini waktu Malaysia namun perjalanannya terganggu selepas dipintas oleh Tentera Laut Israel.

Setakat 1 tengah hari ini, Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan seramai 12 rakyat Malaysia ditahan selepas kapal mereka memasuki zon merah R3, kira-kira 100 batu nautika dari pesisiran pantai Gaza.

Mereka yang ditahan terdiri daripada selebriti, aktivis kemanusiaan dan sukarelawan termasuk Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah (Hio); Norfarahin Romli atau Farah Lee serta Danish Nazram Murad (Grande Blu); dan Nur Fazelah Mad Tahil atau Zizi Kirana (Huga).

Turut ditahan Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin dan Rusydi Ramli (Sirius), serta Iylia Balqis, Musa Nuwayri dan Sul Aidil (Alma).

Sementara itu, lima lagi rakyat Malaysia yang menaiki Estrella dan Mikeno dilaporkan terputus hubungan dengan SNCC, dengan status sama ada kapal-kapal mereka turut dipintas atau ditahan oleh Tentera Laut Israel masih belum dapat disahkan setakat ini.

Tiga kapal lain iaitu Fair Lady, Free Willy dan Inana yang turut membawa rakyat Malaysia disahkan masih belayar dan mengekalkan komunikasi dengan pusat gerakan operasi.

Berada di atas kapal berkenaan ialah Zainal Rashid Ahmad dan Ustaz Muhammad Abdullah (Fair Lady), Muhammad Hareez Adzrami dan Dr Taufiq Mohd Razif (Free Willy) serta Razali Awang (Inana).

Misi kemanusiaan GSF berdepan gangguan komunikasi dipercayai berpunca daripada peralatan radar jammer tentera Israel selain tindakan agresif seperti semburan air bertekanan tinggi dan mesej provokatif “See you in jail” kepada peserta konvoi.

Tentera Laut Israel dipercayai mengerah anggota unit komando tentera lautnya yang dikenali sebagai Sayeret Matkal untuk menaiki kapal-kapal GSF terbabit dan menahan peserta flotila kemanusiaan antarabangsa itu termasuk rakyat Malaysia.

Tindakan Israel itu mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengecam sekeras-kerasnya perbuatan tentera rejim tersebut yang menyasarkan kapal membawa bantuan kemanusiaan dan orang awam tidak bersenjata.

“Dengan menghalang misi kemanusiaan, Israel menunjukkan sikap tidak hormat bukan sahaja terhadap hak rakyat Palestin tetapi juga terhadap hati nurani dunia.

“Flotila ini melambangkan solidariti, belas kasihan dan harapan untuk meringankan penderitaan mereka yang hidup di bawah sekatan,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan Malaysia akan menggunakan semua saluran sah dan mengikut lunas undang-undang antarabangsa bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan, khususnya berkaitan keselamatan rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi tersebut.

Seluruh kepimpinan negara dan rakyat Malaysia turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis terhadap misi GSF yang hanya bertujuan membawa bantuan kepada penduduk Gaza.

Ketua Pengarah SNCC Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby dalam sidang media memaklumkan bahawa kesemua peserta termasuk rakyat Malaysia yang ditahan diyakini berada dalam keadaan selamat di atas kapal masing-masing.

“SNCC mengesahkan bahawa tentera rejim Israel telah mengarahkan beberapa kapal menukar laluan dari destinasi asal ke lokasi yang belum dapat disahkan.

“Kami yakin para delegasi kita diperlakukan dengan baik kerana semua maklumat yang diterima adalah secara langsung daripada mereka yang berada di atas kapal, termasuk delegasi antarabangsa lain,” katanya.

Meskipun berdepan tekanan dan sekatan, beliau berkata para sukarelawan Malaysia tetap komited dan berpegang teguh kepada misi kemanusiaan bagi membantu penduduk Gaza yang sangat memerlukan- Bernama