KUALA LUMPUR: Setiap dasar yang dirangka berhubung cadangan pelaksanaan garis panduan bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam perlu mengambil kira aspek perpaduan nasional serta mendapatkan kelulusan Kabinet terlebih dahulu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan bersama berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
“Perkara ini berbangkit susulan beberapa pertanyaan daripada umat Islam tentang jemputan ke majlis anjuran masyarakat bukan Islam yang mungkin melibatkan unsur-unsur keagamaan.
“Bagi memberi panduan kepada umat Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengambil inisiatif membangunkan garis panduan berkenaan.
“Mengambil kira bahawa perkara ini telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan agama, Jemaah Menteri telah bersetuju bahawa JAKIM boleh memberikan nasihat kepada orang Islam berkaitan keperluan menjaga akidah umat Islam berhubung perkara ini, namun nasihat itu tidak bersifat dasar,” menurut kenyataan itu.