KUALA LUMPUR: Dasar Perpaduan Negara (DPN) berperanan sebagai panduan dan asas dalam usaha Malaysia membina sebuah negara yang lebih bersatu padu, terangkum dan berdaya tahan, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.
Beliau berkata dasar berkenaan bukan sekadar pernyataan hasrat, tetapi juga merupakan rangka tindakan untuk memperkukuh perpaduan sosial dalam kepelbagaian etnik, agama dan budaya di Malaysia.
Aaron berkata DPN berpaksikan tiga matlamat stratetgik iaitu memperkukuh perpaduan dan integrasi nasional, membentuk jati diri berasaskan nilai-nilai bersama, serta membina sebuah masyarakat yang progresif, aman dan makmur.
“Ia adalah kerangka dasar yang bersifat dinamik dan mampu disesuaikan dengan keperluan semasa.
“Ia bukan bersifat statik, sebaliknya sentiasa dikaji dan dikemas kini dari semasa ke semasa mengikut perubahan dinamik negara dan diperkukuh melalui dapatan berasaskan bukti daripada IPNAS (Indeks Perpaduan Nasional), penyelidikan akademik, sesi libat urus bersama komuniti serta pandangan masyarakat awam termasuk laporan yang dibentangkan hari ini oleh Architects of Diversity (AOD),” katanya.
Aaron berkata demikian pada majlis pelancaran Laporan AOD di sini hari ini.
Beliau berkata sebelum Malaysia dapat mencapai perpaduan sejati, negara perlu terlebih dahulu mengenal pasti 10 isu sosial utama yang terus menghalang kepada perpaduan nasional.
Cabaran berkenaan katanya ialah perpecahan kaum yang berterusan, ketegangan agama, kelas sosial yang tidak sama rata, sistem pendidikan yang berpecah-belah, kurang penekanan terhadap bahasa kebangsaan, jurang antara generasi, ketidaksamaan jantina, pempolitikan identiti dan sistem federalisme, jurang bandar dan luar bandar serta pengaruh media tradisional dan digital dalam menyebarkan maklumat palsu.
“Ini bukan isu terpencil. Ia saling berkait dan bertambah rumit antara satu sama lain, menjadi halangan nyata kepada kepercayaan, persefahaman bersama dan rasa kekitaan.
“Pengiktirafan terhadap kelemahan-kelemahan ini sangat penting kerana hanya melalui penilaian yang telus kita dapat merangka dasar yang fokus dan terangkum untuk merapatkan jurang terbabit serta mengukuhkan asas perpaduan kita,” katanya sambil menambah mengabaikan kelemahan berkenaan berisiko membiarkan luka yang tidak sembuh, yang akhirnya boleh menimbulkan ketidakpercayaan, pemisahan dan konflik.
Beliau berkata pelaburan dalam perpaduan sosial bukanlah pilihan, tetapi suatu keperluan penting untuk ketahanan dan kemakmuran masa depan Malaysia.
“Hal ini bermaksud membina sebuah masyarakat dengan setiap rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang berasa dihormati, didengar dan diberi peluang untuk memberi sumbangan. Hal ini kerana perpaduan bukan sekadar impian, ia adalah asas kepada pembangunan mampan, keamanan dan kemajuan negara,” katanya.