• 2025-10-12 06:36 PM

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan melancarkan Dasar Penggunaan Semula dan Penggunasuaian Bangunan Wilayah Persekutuan (RE_NEW) sebagai usaha menghidupkan semula bangunan warisan di wilayah berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata dasar ini juga bertujuan untuk mengurangkan jejak karbon dan mengekalkan identiti kota.

“Jika bangunan masih selamat, bernilai dari segi warisan dan berdaya ekonomi, maka pilihan paling wajar adalah penggunaan semula, bukan merobohkan semata-mata atas nama pembangunan baharu,“ katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau melancarkan dasar berkenaan di Rumah Hijau Taman Botani Perdana hari ini.

Dr Zaliha berkata dasar ini menawarkan pelbagai insentif menarik kepada pemaju dan pengusaha termasuk pengurangan caj pembangunan dan kelulusan laluan pantas.

Insentif lain termasuk kadar sewaan berinsentif untuk PKS dan komuniti, pengiktirafan karbon rendah serta geran padanan hijau.

Pelancaran dasar itu adalah kesinambungan daripada lawatannya ke Itali pada Mei lepas apabila Wilayah Persekutuan diiktiraf sebagai bandar perintis konsep Baukultur di luar Eropah.

“Seringkali Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebut pemerhatian Mark Twain ketika pertama kali tiba di Washington DC ‘hutan konkrit tetapi gersang budayanya’.”

“Sehubungan dengan itu, di Wilayah Persekutuan, kami mahu mengubah persepsi itu kepada bandar yang hidup dengan roh budaya,“ katanya. – Bernama