PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengurangkan hukuman denda terhdap sebuah syarikat atas kesalahan pencemaran udara di Pasir Gudang lima tahun lepas, daripada RM640,000 kepada RM480,000.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Seri Mariana Yahya, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin membenarkan rayuan P Tech Resources Sdn Bhd untuk mengurangkan denda daripada RM80,000 setiap pertuduhan kepada RM60,000 bagi setiap pertuduhan.

Syarikat itu menghadapi lapan pertuduhan pindaan yang melibatkan kesalahan pentadbiran di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

Peguam G. Subramaniam Nair yang mewakili syarikat itu, mengesahkan keputusan mahkamah berkenaan kepada Bernama.

Timbalan Pendakwa Raya Tengku Sharizam Tuan Lah yang mewakili pihak pendakwaan, turut mengesahkan kepada mahkamah bahawa representasi berkenaan telah diterima.

Subramaniam yang dibantu oleh S. Devika, berkata memandangkan anak guamnya telah membayar denda asal sebanyak RM640,000, mahkamah mengarahkan baki denda berkenaan dikembalikan kepada syarikat.

Pada November tahun lepas, Mahkamah Sesyen Johor Bahru memerintahkan P Tech Resources membayar denda sebanyak RM320,000 selepas syarikat itu, melalui wakilnya, mengaku bersalah terhadap lapan pertuduhan pindaan.

Pada Jun tahun ini, Mahkamah Tinggi Johor Bahru meningkatkan denda kepada RM80,000 bagi setiap pertuduhan selepas rayuan dibuat oleh pihak pendakwaan.

Antara lapan kesalahan pentadbiran yang dilakukan syarikat itu adalah kegagalan menjalankan pemantauan berkala, gagal memastikan sistem kawalan pencemaran udara diselia pihak berwibawa selain gagal melengkapkan premis dengan peralatan bagi memantau prestasi sistem kawalan pencemaran udara.

Dalam insiden 13 Mac 2019 itu, lebih 2,000 orang awam terjejas dan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup dipercayai akibat pembuangan sisa toksik ke Sungai Kim Kim pada 7 Mac 20