NIBONG TEBAL: Depot Tahanan Imigresen di Jawi di sini yang baharu siap akan menempatkan pendatang tanpa izin bermula 26 Nov ini dan beroperasi sepenuhnya pada 1 Dis bagi menggantikan Depot Tahanan Juru.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata depot baharu dengan kos RM77.5 juta itu berkeluasan 6.07 hektar (15 ekar) mampu menempatkan kira-kira 1,200 pendatang tanpa izin.
“ ... hari ini kita buat simbolik penyerahannya, kawasannya lengkap dengan kompleks tahanan, mahkamah pendatang tanpa izin dan kuarters (petugas imigresen) jadi kita akan pindahkan penghuni di Depot Tahanan Juru. Staf imigresen seramai 118 yang bertugas di Juru juga akan dipindahkan ke sini.
“ Mereka (tahanan) yang ditempatkan di sini berkaitan kesalahan melanggar Akta Imigresen antaranya salah guna pas lawatan, masuk tanpa dokumen dan tinggal lebih masa,“ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Depot Tahanan Imigresen dan Kuarters di Depot Imigresen Jawi di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata pembinaan depot itu sepatutnya siap pada 8 Mei 2022 selepas kerja-kerja pembinaan bermula pada 27 Mei 2019 namun tertangguh ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik COVID-19.
Pembinaan depot berkenaan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) Rolling Plan Pertama bertujuan menyediakan pusat tahanan yang kondusif serta boleh menampung kapasiti diperlukan dan memiliki ciri-ciri kawalan keselamatan.
Projek itu dilaksanakan bagi menggantikan Depot Tahanan Imigresen Juru yang dibina pada 1976 dan telah uzur serta tidak selamat diduduki.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata depot tahanan imigresen di negara ini bersifat sementara dan tidak berlaku kesesakan malah masih di bawah kapasiti ditetapkan iaitu kapasiti 20,000 orang di semua depot seluruh negara namun ketika ini terdapat 14,000 pesalah.
“Kalau mereka sudah selesai menjalani hukuman, kita tempatkan sementara sebelum kita pulangkan ke negara asal bergantung kepada berapa cepat dokumen perjalanan mereka disiapkan.
“Keseluruhannya, depot tahanan imigresen kita anggap sebagai ‘under’ (di bawah) kapasiti yang keupayaan kita lebih tetapi kita menempatkan angka (tahanan) yang jauh lebih rendah,” katanya.