• 2025-07-22 05:20 PM

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menyeru media agar memberi tumpuan kepada isu penting dalam liputan Parlimen, bukan hanya peristiwa sensasi seperti kekecohan.

Beliau menekankan peranan media dalam membentuk persepsi awam terhadap hala tuju negara.

“Kalau kita terlalu memfokuskan liputan berita perkara-perkara itu, akhirnya perbincangan serta isu substantif itu ditinggalkan,“ katanya dalam sesi libat urus bersama petugas media di Bangunan Parlimen.

Johari menegaskan laporan seimbang dan berfakta penting untuk membina kepercayaan rakyat terhadap institusi demokrasi.

Beliau turut menyentuh kebiasaan rakyat yang bergantung pada tajuk berita tanpa membaca kandungan penuh.

“Ramai yang kadang-kadang tak baca berita penuh hanya baca tajuk sahaja...dengan tajuk itu dia membuatkan persepsi ataupun andaian,“ ujarnya.

Johari menyarankan media lebih berfokus pada dasar, perbahasan kandungan, dan usaha legislatif bagi memartabatkan Parlimen.

Kerjasama erat antara media dan institusi Parlimen juga perlu diperkukuh dengan profesionalisme dan saling menghormati. – Bernama