• 2025-07-22 10:26 PM

KUALA LUMPUR: Projek pembangunan Kota MADANI bukan sekadar bersifat kosmetik atau bermotifkan politik, sebaliknya ia merupakan inisiatif strategik bagi menjamin kesejahteraan penjawat awam sebagai tulang belakang pentadbiran negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menegaskan perkara itu dalam jawapan bertulis di laman Parlimen.

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 mengenai Pengurusan Pembangunan Putrajaya, terdapat keperluan untuk membina 35,000 unit kuarters kerajaan di Putrajaya.

Namun, setakat ini hanya 22,452 unit disediakan, manakala selebihnya belum dibangunkan.

Rekod Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) pula menunjukkan seramai 17,366 penjawat awam sedang menunggu pengisian kuarters, berbanding kekosongan sedia ada sebanyak 1,449 unit.

“Kerajaan merancang inisiatif Kota MADANI dengan membina 10,000 unit kuarters baharu di Presint 19, Putrajaya, meliputi tanah seluas 102 ekar. Ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 penjawat awam,“ jelas Dr Zaliha.

Projek ini bukan sekadar penyediaan perumahan, tetapi mengamalkan model pembangunan bandar mesra pejalan kaki, inklusif, dan mampan.

Antara kemudahan awam yang dirancang termasuk sekolah, masjid, taska, gimnasium, dan ruang komuniti bagi menyokong gaya hidup sihat.

“Kota MADANI bukan projek mewah, tetapi berasaskan keperluan nyata. Konsep pembangunan padat dan menegak sebenarnya sebahagian daripada perancangan Putrajaya sejak 1998, dan kini direalisasikan melalui projek ini,“ tambahnya. – Bernama