the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, July 23, 2026
26.4 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Dewan Rakyat: Lulus peringkat dasar, Belanjawan 2025 masuk peringkat jawatankuasa minggu ini

KUALA LUMPUR: Sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan 2025) diteruskan di peringkat jawatankuasa pada minggu kelima Dewan Rakyat, selepas ia diluluskan di peringkat dasar dengan sokongan majoriti.

RUU itu diluluskan selepas 14 kementerian pada minggu ini selesai menjawab perbahasan antaranya Kementerian Pendidikan; Kementerian Pendidikan Tinggi; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; dan Kementerian Kewangan.

Pada sesi penggulungan peringkat dasar Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tidak lagi relevan untuk dilaksanakan dalam pentaksiran pendidikan murid sekolah.

Justeru Kementerian Pendidikan mengekalkan keputusan untuk tidak mengembalikan pelaksanaan UPSR dan PT3, yang masing-masing dimansuhkan mulai 2021 dan 2022, sebaliknya akan memperkasakan pentaksiran Pendidikan Berasaskan Sekolah (PBS).

Bagi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, menterinya Chang Lih Kang berkata kerajaan sedang mempertimbangkan penggunaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga negara pada masa depan.

Chang berkata pelaksanaan inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha dalam mencapai matlamat pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada penggulungan perbahasan kementerian itu pula berkata dapatan audit dalaman dan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dalam FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) akan digunakan untuk menambah baik tatakelola Khazanah Nasional Bhd (Khazanah).

Sesi perbahasan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa serta jawapan daripada setiap kementerian dijadual berlangsung 13 Nov hingga 3 Dis.

Setakat minggu ini Jabatan Perdana Menteri dan empat kementerian telah selesai menggulung perbahasan Belanjawan 2025 peringkat berkenaan iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Luar, Kementerian Perpaduan dan Kementerian Ekonomi.

Belanjawan 2025 memperuntukkan RM421 bilion, terbesar dalam sejarah dan diselaraskan secara strategik dengan kerangka Ekonomi MADANI.

Ia memberikan tumpuan kepada menarik pelaburan berkualiti tinggi, memacu peluang perniagaan, melaksanakan projek untuk kesejahteraan rakyat dan tidak menjejaskan kemampuan mereka dalam membeli barangan keperluan dan perkhidmatan.

Mesyuarat ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 35 hari bermula 14 Okt hingga 12 Dis ini.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Lebanon and Israel set for next talks in Italy

Lebanon and Israel will hold their next US-brokered talks in Italy on August 4 as both sides begin implementing a plan for Israeli withdrawals and Lebanese army deployments.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings