GEORGE TOWN: Polis mengesahkan seorang wanita dan anak perempuannya yang ditemui dalam keadaan reput di sebuah unit pangsapuri di Jalan Bukit Gambir dipercayai telah meninggal dunia lebih seminggu lalu.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata kesimpulan itu dibuat berdasarkan laporan bedah siasat yang dijalankan semalam.
“Doktor juga tidak dapat memastikan punca kematian kerana keadaan mayat sudah reput,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Sebelum ini, polis mengesahkan penemuan mayat wanita berusia 40 tahun dan anak perempuannya berumur dua tahun susulan aduan bau busuk daripada orang awam.
Tiada sebarang kecederaan atau luka ditemui pada badan kedua-dua mangsa, dan kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.