• 2025-07-10 09:04 PM

SHAH ALAM: Dua kategori pengguna di Selangor dijangka tidak akan terjejas dengan pelarasan tarif air baharu yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi.

Menurut Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim, golongan yang tidak terkesan termasuk penerima Skim Air Darul Ehsan (SADE) iaitu golongan B40 serta pengguna domestik dan komersial yang menggunakan air kurang 20 meter padu.

Pelarasan ini merupakan fasa kedua selepas pelaksanaan pertama pada 1 Februari 2024. Izham menjelaskan bahawa fasa pertama melibatkan sektor komersial dan sedikit kenaikan bagi pengguna domestik.

“Untuk fasa kedua ini, sepatutnya dilaksanakan pada 1 Julai, tetapi terdapat sedikit kelewatan. Sekarang kita menunggu kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN),“ katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari telah mengumumkan kadar baharu tarif air bagi lebih lapan juta pengguna bermula 1 Februari 2024. Pelarasan itu melibatkan 2,661,743 akaun termasuk pengguna domestik dan bukan domestik seperti rumah ibadat serta perusahaan kecil dan besar.

Izham menegaskan bahawa permohonan pelarasan tarif air dibuat secara berfasa kerana melibatkan jumlah pengguna yang besar.

“Syarikat pengurusan air beroperasi dalam keadaan rugi kerana tarif air tidak dinaikkan terlalu lama. Pelarasan ini penting bagi memastikan Air Selangor dapat beroperasi dengan baik,“ jelasnya.

Kerajaan Selangor juga baru-baru ini mengadakan sesi libat urus bersama SPAN bagi membincangkan isu kawal selia air di negeri ini. Sesi tersebut dihadiri oleh Amirudin dan wakil Air Selangor sempena lawatan Pengerusi SPAN Datuk Abdul Kadir Mohd Din.

SPAN dalam kenyataan semalam memaklumkan bahawa mereka telah menerima permohonan semakan tarif air daripada operator di sepuluh negeri termasuk Selangor. Namun, semua permohonan tersebut masih dalam proses semakan dan belum dimuktamadkan. - Bernama