JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang pemandu lori dan kelindan disyaki terlibat dalam kes pencemaran bau dipercayai bahan kimia di sekitar Johor Bahru dan Kota Tinggi di kawasan sebuah pangsapuri di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata dua lelaki masing-masing berumur 23 dan 28 tahun itu diberkas pada 11 malam dan semakan mendapati mereka tiada rekod jenayah lampau dan bebas pengaruh dadah.

“Dua lelaki terbabit direman tujuh hari bermula hari ini hingga 16 Sept di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian pencemaran diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan melalui talian 07-2182323.

Sebelum ini, dilaporkan 38 penduduk dari Kampung Orang Asli Pasir Intan di Kota Tinggi dipindahkan ke pusat pemindahan sementara dipercayai akibat pencemaran bahan kimia di kampung itu sejak Khamis lepas manakala 27 murid Sekolah Kebangsaan Kampung Maju Jaya di sini mengalami gejala pening dan muntah-muntah disyaki akibat pencemaran bau yang berlaku di Kampung Maju Jaya dan Kampung Tawakal.

Semalam, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pihaknya mahu Polis Diraja Malaysia dan agensi berkaitan menjalankan siasatan bagi menangani isu pencemaran dengan sebaik mungkin.