• 2025-07-26 04:04 PM

JOHOR BAHRU: Dua pegawai penguat kuasa ditahan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) malam tadi atas disyaki terlibat dalam kegiatan ‘flying passport’.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) CIQ BSI Roszita Dim berkata, kedua-dua pegawai berumur 31 dan 49 tahun itu ditahan oleh Unit Pematuhan AKPS BSI pada pukul 9 malam.

“Pemantauan pada pukul 7.30 malam mengesan data pelawat meragukan melalui ID pegawai di kaunter zon kereta. Data pelawat asing bermasalah turut dikenal pasti memerlukan pembetulan oleh penyelia,“ jelas Roszita dalam sidang media di CIQ BSI hari ini.

Pemeriksaan lanjut menemui RM2,800 wang tunai dan dua telefon bimbit dalam simpanan pegawai. Soal siasat mendedahkan 11 pasport China dan tiga pasport Indonesia disembunyikan di atas siling kaunter berlainan.

“Telefon bimbit turut dirampas di kaunter penyelia zon motosikal. Kedua-dua pegawai diserahkan kepada SPRM Johor pagi ini untuk siasatan lanjut,“ tambah Roszita.

Beliau menegaskan risikan dijalankan selama seminggu, namun belum dapat dipastikan sama ada kegiatan ini melibatkan sindiket. - Bernama