KUANTAN: Sebanyak 14 projek berimpak tinggi dengan kos berjumlah RM4 bilion dilaksanakan di Pahang sejak penubuhan Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata projek berkenaan meliputi pelbagai kluster iaitu pelancongan, pembuatan, pembangunan infrastruktur, perniagaan tani dan sosioekonomi di daerah seperti Kuantan, Pekan dan Rompin.
Wan Rosdy berkata antara projek itu ialah Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP), Taman Automotif Pekan, Taman Industri Halal Gambang dan Taman Teknologi Pahang selain peluasan Pelabuhan Kuantan serta pembangunan bandar Pelabuhan Kuantan.
“Bagi perniagaan tani, projek telah siap ialah Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah (MSCRIC) dan Pembangunan Ladang Nanas Bersepadu, kedua-duanya di Rompin.
“Untuk pelancongan, ia melibatkan Taman Negeri Tasik Chini dan Pembangunan Pelancongan Warisan Pekan (kedua-duanya di Pekan) dan Kuantan Waterfront yang turut melibatkan menara Kuantan 188, Serambi Teruntum dan Laman Teruntum,“ katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini
Wan Rosdy menjawab pertanyaan Datuk Mustapa Long (BN-Padang Tengku) yang meminta supaya projek berimpak tinggi di bawah ECERDC disenaraikan.
Selain itu, Wan Rosdy juga memaklumkan beberapa projek lagi dalam pelaksanaan iaitu Pusat Informasi dan Konservasi Penyu Cherating di Kuantan dan menaik taraf bangunan lama di Pekan Lama, Pekan bagi kluster pelancongan.
Turut dalam pelaksanaan ialah projek MCKIP tiga bagi kluster pembuatan dan projek pembangunan infrastruktur melibatkan paip agihan dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng di sini, yang merupakan lokasi perindustrian penting di Pahang.
Menjawab soalan lisan Mustapa, Menteri Besar tidak menafikan pembangunan itu banyak berlaku di Pahang Timur dan Pahang Tengah, namun tindakan telah dimulakan supaya pembangunan lebih seimbang di Pahang Timur.
“Kerajaan negeri juga tidak semata-mata bergantung kepada ECERDC, malah sejak 2018 iaitu tahun pertama (saya) sebagai Menteri Besar, kita sudah menubuhkan Pahang Barat Plus dan hasilnya banyak projek sedang dan akan dilaksanakan di sebelah Barat,“ katanya.
Pahang Barat merangkumi daerah Bentong, Raub dan Lipius manakala Jerantut dan Bera termasuk dalam Pahang Barat Plus. –Bernama