KUANTAN: Empat ahli keluarga kepada seorang wanita yang ditemukan maut dengan kesan jerutan pada leher di kediamannya di Indera Mahkota di sini disambung reman hingga Rabu depan.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata tempoh reman tiga lelaki dan seorang wanita berumur 27 hingga 62 tahun itu disambung tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, Wan Mohd Zahari dilaporkan berkata suri rumah berusia 28 tahun itu ditemukan tidak sedarkan diri dalam bilik tidur rumahnya oleh suami mangsa kira-kira 7.30 malam, pada 14 Ogos lepas.

Wanita itu dilaporkan tinggal bersama suami warga China yang bekerja sebagai penyelia kilang, anak lelaki berusia tiga tahun dan adik ipar perempuan berumur lapan tahun.

Mangsa dipercayai dibunuh dalam rumah oleh suspek dengan menjerut leher, susulan itu polis menahan kesemua individu berkenaan bagi membantu siasatan.