• 2025-09-01 07:33 PM

SHAH ALAM: Empat lelaki maut selepas kereta pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar pokok di Lebuhraya Lembah Klang Selatan pagi tadi.

Kemalangan itu dipercayai berpunca daripada pemandu yang hilang kawalan dan dalam keadaan mengantuk ketika dalam perjalanan dari Dengkil ke Banting.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi menyatakan semua mangsa merupakan warga tempatan berusia lingkungan 40-an.

Mereka mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Banting di tempat kejadian.

Kesemua waris mangsa telah membuat laporan polis dan dirakam keterangan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Langat.

Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Insp S. Taneswaran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar melaporkan pemandu kenderaan tercampak keluar manakala kesemua penumpang tersepit.

Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 2.21 pagi sebelum menggerakkan pasukan dari Balai Bomba Telok Panglima Garang. – Bernama