• 2022-08-03 06:44 PM

GEORGE TOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengarahkan empat premis makanan iaitu dua di sekitar kawasan Jalan Utama dan dua di Tanjung Bungah ditutup serta-merta kerana tidak menepati piawaian kebersihan yang ditetapkan termasuk penemuan hurungan lipas dan tikus, serta najis tikus di dalam premis berkenaan.

Pegawai Persekitaran Jabatan Pelesenan MBPP M. Bawani berkata kesemua premis makanan itu diberikan notis penutupan sementara selama 14 hari mengikut Undang-Undang Kecil Establishment Makanan 1991 bagi pelaksanaan kerja pembersihan menyeluruh.

“Suntikan untuk antitifoid bagi pengendali makanan, yang merupakan syarat utama dari segi peruntukan undang-undang, langsung tidak diambil. Langkah-langkah tindakan kawalan pencegahan ‘pest control’ (kawalan serangga) iaitu lipas, lalat, tikus, nyamuk (LILATI) langsung tidak dibuat.

“Ini merupakan sebab utama wujudnya hurungan tikus, lipas di kedai-kedai makanan,“ katanya kepada pemberita selepas menjalankan operasi di Jalan Utama, di sini hari ini.

Bawani berkata menurut pemantauan yang dilakukan, perangkap minyak yang dipasang tidak berfungsi langsung kerana kerja-kerja pembersihan tidak dijalankan dengan betul serta tidak diselenggara dengan baik.

Beliau berkata pihak MBPP tidak mengenakan sebarang kompaun dan hanya meneruskan dengan tindakan penutupan premis makanan yang bermula hari ini hingga 17 Ogos.

Katanya, kesemua premis yang dimasukkan dalam senarai penutupan hari ini pernah diperiksa dan telah dibuat pemantauan oleh pegawai kawasan masing-masing dan didapati notis, nasihat dan kompaun pernah dikeluarkan terhadap premis-premis ini.

Bagaimanapun, Bawani berkata masih tiada penambahbaikan yang dijalankan, maka tindakan penguatkuasaan untuk penutupan premis diteruskan.

“Semua premis itu diarah tutup untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan menyeluruh dan mematuhi piawaian kebersihan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya. - Bernama