JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor bersama Kerajaan Persekutuan sedang mempergiatkan sesi libat urus dengan pelabur dan syarikat di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bagi merealisasikan sasaran gaji minimum lebih kompetitif, termasuk RM4,000 sebulan untuk graduan baharu.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata inisiatif ini diperhalusi melalui Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) sebagai langkah strategik kerajaan negeri.
“Langkah ini penting bagi memastikan kesejahteraan pekerja tempatan terbela dan menarik bakat berkualiti tinggi untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi Johor,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Beliau turut menekankan komitmen kerajaan negeri dalam menangani isu bekalan air bersih dengan sokongan penuh Kerajaan Persekutuan.
Projek infrastruktur baharu diluluskan bagi meningkatkan kapasiti pengagihan air terawat, terutamanya di kawasan strategik seperti JS-SEZ.
“Perancangan pembangunan sumber air mentah berskala besar sehingga 2,000 juta liter sehari menjelang 2060 menunjukkan kesungguhan kerajaan menjamin bekalan air untuk rakyat dan industri,” ujarnya.
Onn Hafiz menegaskan kerajaan negeri akan memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar, telus, dan memberi impak tinggi untuk kesejahteraan Bangsa Johor.
“Semoga usaha ini dipermudahkan Allah SWT dan aspirasi besar di bawah Agenda Maju Johor 2030 tercapai demi kemajuan negeri yang seimbang dan mampan,” katanya. – AFP