PUTRAJAYA: Platform media sosial Facebook dianggarkan menjana pendapatan melalui pengiklanan dalam talian antara USD15 bilion hingga USD20 bilion (USD1=RM4.25) di rantau ASEAN pada tahun lepas.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata jumlah itu termasuk iklan yang dipercayai mengandungi elemen penipuan dan judi dalam talian.

Beliau berkata pendapatan itu dijana daripada kira-kira 670 juta pengguna daripada populasi rantau ASEAN yang menggunakan media sosial berkenaan.

Fahmi berkata di Malaysia, pendapatan yang dijana oleh Facebook pada tahun lepas ialah RM2.5 bilion.

“Ini masalah yang kita hadapi... banyak iklan yang mereka sajikan adalah iklan scam mengatakan kononnya ada pelaburan, kononnya ada produk magical yang boleh dibeli pada harga yang sangat murah. Tidak ada kawalan dari segi ini.

“Malah beberapa minggu lepas, pasukan saya telah mengenal pasti aktiviti penjualan dadah dan vape (rokok elektronik) dalam kumpulan Facebook,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi semalam.

Fahmi berkata sehingga kini, Facebook masih belum memberikan kerjasama terhadap pelesenan platform media sosial yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan awal tahun ini.

“Mereka sampai sekarang belum lagi mahu dilesenkan melalui sistem pelesenan yang telah kita umumkan. Mereka enggan memberikan kerjasama dalam beberapa perkara,” katanya.

Pada 1 Jan lepas, kerajaan secara rasmi telah menguatkuasakan pelesenan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna serta memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial.

Usaha kerajaan tidak terhenti di situ apabila Parlimen telah meluluskan Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) 2024 pada Disember lepas, yang bakal dikuatkuasakan dalam masa terdekat.

“Dengan adanya OnSA yang akan kita kuatkuasakan, platform media sosial seperti Facebook wajib patuh.

“Masalah seperti kumpulan Facebook pedofil, child sexual abuse material (bahan berkaitan penderaan seksual kanak-kanak) wajib dihapuskan dari platform ini dan mereka yang terlibat perlu dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.