KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari diseru memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Thailand dan Kemboja berikutan kenyataannya yang dianggap memperkecilkan usaha gencatan senjata antara kedua-dua negara melalui inisiatif diplomatik Malaysia.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Pasir Mas itu sebagai tidak patriotik dan memalukan negara.
Beliau menegaskan bahawa ketika dunia mengiktiraf peranan Malaysia, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai arkitek keamanan serantau, kenyataan Fadhli hanya mencerminkan politik sempit pembangkang.
“Malaysia tidak akan mempertahankan tindakan gopoh dan bebal mereka yang tidak menghormati negara jiran. Kita juga tidak akan membenarkan suara sumbang seperti ini merosakkan nama baik negara,“ katanya menerusi hantaran di Facebook.
Kamil menekankan bahawa usaha perdamaian ini bukan soal parti politik, tetapi soal maruah negara.
“Dunia menyambut baik usaha ini, dari Amerika Syarikat, China, hingga seluruh ASEAN. Tetapi pembangkang kita memilih untuk sinis dan pesimis,“ tambahnya.
Sebelum ini, Fadhli memuat naik hantaran di media sosial memaparkan gambar tiga watak binatang iaitu kambing, biri-biri, dan monyet sebagai hakim dengan kapsyen yang menyindir peranan Malaysia sebagai pengantara.
Hantaran itu mencetuskan kecaman ramai.
Semalam, Anwar mengumumkan bahawa Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta hasil mesyuarat khas di Putrajaya.
Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai turut hadir. - Bernama