PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyeru orang ramai memainkan peranan masing-masing secara konstruktif apabila berdepan pemasangan Jalur Gemilang yang tidak betul.
Beliau menegaskan agar orang ramai tidak mengambil tindakan di luar batasan undang-undang sekiranya mengesan sebarang kesilapan dalam pemasangan bendera kebangsaan.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI menggesa orang ramai mengambil inisiatif membetulkan keadaan itu sendiri atau menyerahkannya kepada pihak berkuasa.
“Jika kita melihat Jalur Gemilang yang mungkin secara cuai telah disalah naik, serahkan tindakan kepada pihak berkuasa... setidak-tidaknya, kita sebagai rakyat Malaysia wajar menyampaikan nasihat atau membetulkan keadaan itu melalui diri kita sendiri.”
Beliau menyeru semua pihak meraikan Bulan Kebangsaan dengan penuh kebanggaan, keselamatan dan keamanan untuk semua.
Mengulas mengenai kemeriahan semangat Hari Kebangsaan, Fahmi menyatakan ia semakin rancak dengan peningkatan aktiviti pengibaran Jalur Gemilang.
“Saya lihat dalam algoritma TikTok dan beberapa media sosial, banyak juga yang saya perhatikan kandungan yang telah dihasilkan menunjukkan kreativiti rakyat untuk mempamerkan Jalur Gemilang.”
Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ akan berlangsung di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos.
Sambutan Hari Malaysia pula akan diadakan di Pulau Pinang pada 16 September. – Bernama