KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menafikan bahawa beliau telah memberikan arahan atau kenyataan seperti dakwaan dalam hantaran Facebook “Datu Bentan Alamin”.
Beliau menegaskan bahawa hantaran berkenaan adalah fitnah, serta laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah dibuat terhadap pemilik akaun berkenaan.
“Saya tidak pernah sama sekali mengeluarkan kenyataan mahupun arahan seperti yang didakwa.
“Saya menyeru agar semua pihak menghentikan penyebaran fitnah dan tidak menunggang sebarang isu demi kepentingan peribadi, termasuk menjadikan kes Zara Qairina sebagai bahan untuk dimanipulasi,” katanya dalam hantaran Facebook beliau.
Dalam hantarannya itu, Fahmi turut berkongsi tangkap layar akaun Facebook Datu Bentan Alamin yang mendakwanya mengarahkan supaya kandungan terkait isu kematian pelajar tingkatan satu Zara Qairina Mahathir dipantau dan disekat - BERNAMA