• 2025-07-29 02:16 PM

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan bekas wartawan Utusan Malaysia, Nurulanuar Mansor, yang meninggal dunia semalam.

Melalui hantaran di Facebook, Fahmi menyatakan rasa sedih atas pemergian ahli Kelab Wartawan Kuala Lumpur dan Selangor (KLS) itu. Beliau menggambarkan Allahyarham sebagai individu yang berbakat dalam bidang seni.

“Allahyarham pernah menghasilkan karikatur yang dihadiahkan kepada saya semasa Majlis Makan Malam Gabungan Kelab Media Malaysia, bulan lepas. Takziah kepada seluruh anggota keluarga dan sahabat handai Allahyarham. Saya doakan agar mereka diberikan kesabaran, ketabahan dan kekuatan dalam mendepani kehilangan ini,“ kata Fahmi.

Beliau juga mendoakan agar Allah SWT mengampunkan dosa, menerima amal, dan menempatkan roh Allahyarham bersama orang beriman.

Presiden KLS Wan Syamsul Amly Wan Seadey memaklumkan bahawa Allahyarham meninggal dunia di Hospital Putrajaya akibat pembuluh darah pecah. Jenazah akan disembahyangkan selepas solat zuhur di Masjid Saidina Hamzah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Lebuhraya KL-Karak, Taman Selasih, Batu Caves. - Bernama