KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil merakamkan ucapan takziah kepada balu, anak-anak serta seluruh ahli keluarga Allahyarham Sheqal atas pemergian penyanyi popular era 90-an itu hari ini.

Fahmi berkata Allahyarham Sheqal atau nama sebenarnya Shaharim Salehuddin merupakan antara penyanyi yang sering mewarnai skrin televisyen dan radio ketika beliau masih di bangku sekolah rendah.

“Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un. Hari ini, seorang lagi insan seni tanah air telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.

“Saya masih ingat ketika di bangku sekolah rendah, Allahyarham Sheqal merupakan antara penyanyi popular yang sering mewarnai skrin televisyen dan radio dengan suara serta lagu-lagunya yang unik dan penuh penghayatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Sheqal serta menempatkannya dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.

Sheqal, meninggal dunia pada usia 60 tahun akibat jangkitan kuman dan komplikasi paru-paru berair di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, Negeri Sembilan, pada 12.31 tengah hari tadi.

Sebelum ini, Bernama melaporkan Sheqal, yang popular menerusi lagu Cinta Nusantara, pernah menyuarakan hasrat untuk kembali menetap di kampung halamannya di Kampung Tanjung Putus, Raub, Pahang selepas lebih 40 tahun merantau, selain mahu terus berkarya.

Sheqal dilaporkan berkerusi roda sejak beberapa tahun lalu akibat diserang angin ahmar sebanyak empat kali sejak 2020, dengan serangan terakhir berlaku tiga tahun lepas.