SHAH ALAM: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menetapkan sasaran tinggi untuk pengadil Liga Malaysia 2025/26 dengan matlamat sifar kesilapan selepas mencatat ketepatan 98 peratus musim lalu.
Timbalan Presiden FAM Datuk S Sivasundaram berkata, pencapaian itu dimungkinkan berkat Sistem Bantuan Video (VAR).
“Kita boleh cakap sifar isu, tetapi kita harus ingat mereka ini juga manusia, semua akan ada masalah atau apa sahaja yang mungkin dibawa bersama dalam padang...jadi kita berharap yang terbaik,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Pembaharuan Perjanjian Penajaan antara FAM dan Kronos.
Sivasundaram yang mengetuai Jawatankuasa Pengadil FAM mengakui masih ada ruang untuk penambahbaikan. Beliau menyatakan, daripada 208 perlawanan musim lepas, hanya lima aduan diterima, dengan dua sahaja disahkan sebagai kesilapan pengadil. “Saya hormat apa-apa pandangan dari semua pihak dan kita ada kelemahan yang kita harus perbaiki,” tambahnya.
Peningkatan ketara ketepatan pengadilan dari 88.76 peratus (musim 2023–2024) kepada 98.07 peratus musim lepas menjadi asas keyakinan FAM. Sivasundaram menekankan komitmen untuk terus memantau prestasi pengadil melalui laporan Penilai Pengadil (RA). - Bernama