JASIN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka menyasarkan nilai jualan sebanyak RM250,000 sempena Program Mantai Semarak Syawal yang berlangsung dari 25 Mac hingga esok.

Pengarah FAMA Melaka Nor Azhar Abdul Hamid berkata setakat ini, nilai jualan telah mencecah RM175,000 hasil penganjuran program tersebut di sepuluh lokasi terpilih di seluruh negeri ini.

“Program Semarak Syawal ini menawarkan pelbagai keperluan untuk Hari Raya Aidilfitri seperti ketupat, santan, daun kelapa, daun palas, daging lembu, ayam dan kuih raya, bagi memudahkan pengguna mendapatkan bahan segar pada harga berpatutan.

“Sempena program ini kita juga menawarkan jualan Bakul Madani Raya iaitu berisi minyak paket, telur, halia, bawang dan santan yang dijual dengan RM10, selain jualan istimewa potongan harga ayam iaitu RM12 dengan kira-kira 2,000 ekor yang ditawarkan di sembilan lokasi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Program Mantai Semarak Syawal di Pasar Tani Merlimau itu disempurnakan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Nor Azhar berkata penganjuran program itu juga untuk memudahkan pengguna mendapatkan barangan keperluan bagi persiapan Syawal, dengan jaminan kualiti dan harga berpatutan menerusi potongan harga serta promosi khas sekali gus meringankan beban perbelanjaan pengguna.

Beliau berkata jualan tersebut juga turut ditawarkan jualan promosi telur ayam gred C RM6 sepapan, beras putih tempatan 10 kilogram RM26 dan daging segar RM30 per kilogram.