SEGAMAT: Kerajaan Johor menyeru Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) agar meningkatkan kualiti infrastruktur pendidikan di kawasan tanah rancangannya.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ini sekali gus akan meningkatkan mutu pendidikan dalam kalangan anak-anak Felda yang boleh menyumbang kepada pembangunan Felda di seluruh negara.

“Waima apa yang berlaku di luar sana, kita kena jaga anak-anak kita di Felda (dengan) tingkatkan kualiti pendidikan dan tahap kemahiran anak muda supaya mereka akhirnya dapat berkhidmat tanpa memerlukan sokongan kerajaan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Karnival Segalanya Felda Wilayah Segamat di Felda Pemanis Satu di sini hari ini.

Turut hadir pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Hairi Mad Shah serta Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip.

Onn Hafiz berkata anak-anak Felda yang mendapat kualiti pendidikan yang baik akan mampu menyumbang kepada pembangunan di kawasan tanah rancangan itu di seluruh negara.

“Bila saya kaji macam mana bangsa lain bersaing di dalam negara dan di peringkat antarabangsa ialah melalui pendidikan.

“Jadi, kerajaan negeri akan terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi dan memohon agar masyarakat yakin kepada pengurusan Felda bagi menerajui agenda penting untuk warga Felda ini,” katanya.

Karnival Segalanya Felda yang berlangsung dua hari bermula semalam bertujuan untuk mengetengahkan aktiviti keusahawanan, kebudayaan, makanan dan produk keluaran Felda kepada masyarakat.

Karnival tersebut turut membabitkan program seperti Semarak Subuh, sukan rakyat dan konvoi bermotor serta Jualan Rahmah.