• 2025-07-03 01:36 PM

BALI: Sebuah feri yang membawa 65 kru dan penumpang karam di Selat Bali pada Rabu malam, mengorbankan empat nyawa. Kejadian berlaku ketika feri KMP Tunu dalam perjalanan dari Pelabuhan Ketapang, Banyuwangi, Jawa Timur, menuju ke Pelabuhan Gilimanuk, Bali.

Menurut Pejabat Mencari dan Menyelamat (SAR) Banyuwangi, feri tersebut mengeluarkan isyarat kecemasan pada pukul 11.20 malam waktu tempatan sebelum karam 15 minit kemudian. “Isyarat kecemasan diterima dan feri dilihat karam oleh pegawai pemantau pelabuhan,” kata penyelaras SAR Wahyu Setiabudi.

Pasukan penyelamat digerakkan pada 12.18 tengah malam, tetapi usaha pemindahan penumpang terganggu akibat ombak tinggi mencecah 2.5 meter. Setakat ini, 14 penumpang berjaya diselamatkan manakala empat lagi disahkan maut. Operasi menyelamat masih diteruskan bagi mencari mangsa lain.

Feri KMP Tunu membawa 12 anak kapal, 53 penumpang, dan 22 kenderaan ketika kejadian. Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.