Your Title

KUALA LUMPUR: Fiji menyatakan minat terhadap model pembangunan Malaysia, khususnya pendekatan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam memperkasakan sektor ekonomi dan pendidikan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu disampaikan rakan sejawatnya dari Fiji, Sitiveni Rabuka melalui perbualan telefon bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala.

“Saya menyambut baik hasrat ini dan bersedia berkongsi pengalaman serta kepakaran Malaysia dalam bidang-bidang tersebut,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.

Anwar berkata Malaysia turut mengalu-alukan kehadiran pelajar dari Fiji dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta teknologi maklumat.

Perdana Menteri berkata dalam perbualan telefon itu, beliau turut menjemput rakan sejawatnya itu untuk menyertai program latihan pembangunan kapasiti di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

“Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada pembangunan sumber manusia melalui latihan dan perkongsian kepakaran,” katanya.

Anwar turut menzahirkan penghargaan atas pembukaan semula Suruhanjaya Tinggi Fiji di Kuala Lumpur awal tahun ini, yang mencerminkan komitmen tegas Fiji dalam memperkukuh hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Bagi mempererat hubungan dua hala, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengundang Rabuka untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia.

“Saya percaya pertukaran lawatan peringkat tinggi akan terus mempererat hubungan antara kedua-dua negara dan membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik,” katanya.