• 2025-10-06 03:10 PM

KUALA LUMPUR: Projek Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) di Pulau Mabul, Semporna wajar disiapkan untuk mempertingkatkan tahap pengoperasian dan keberkesanan kawalan keselamatan perairan Timur Sabah.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025, projek FOB itu masih belum disiapkan walaupun telah hampir 10 tahun sejak mula dirancang.

Projek tersebut dicadangkan oleh ESSCOM sejak 2016 dan diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ke-11 dengan peruntukan RM52.81 juta.

Ia sepatutnya disiapkan pada 16 November 2024 tetapi masih belum selesai.

FOB Pulau Mabul bertujuan mempertingkatkan keberkesanan kawalan keselamatan melalui pendekatan pengawasan dan penguatkuasaan di sepanjang 1,733.3 kilometer pantai dan perairan Timur Sabah.

“Antara isu utama dikenal pasti termasuk bangunan masih belum siap, pembinaan jeti belum dimulakan, serta penamatan kontrak terhadap syarikat disebabkan prestasi kerja tidak memuaskan,“ menurut laporan itu.

Syarikat yang dianugerahkan tender pada Ogos 2020 telah mengemukakan surat penarikan diri pada 1 Ogos 2023.

Alasan yang dikemukakan termasuk peningkatan kos pembinaan akibat pandemik COVID-19 dan kelewatan proses kelulusan lesen.

JKR kemudian mengeluarkan Notis Penamatan Kontrak kepada syarikat berkenaan pada 6 September 2023.

Status kemajuan projek ketika itu hanya 41% berbanding jadual kerja sebanyak 53%.

LKAN menyatakan bahawa syarikat terbabit tidak mempunyai asas kukuh untuk menarik diri.

Kegagalan syarikat menyiapkan projek menyebabkan peningkatan kos sebanyak RM28.70 juta.

Jumlah keseluruhan kos kini menjadi RM81.51 juta serta menyebabkan penangguhan kepada Projek SWASLA Sabah Fasa 2.

Proses pengukuran dan pewartaan tanah laut juga didapati mengambil masa terlalu lama iaitu selama tujuh tahun, lima bulan dan 17 hari.

“Perkara ini disebabkan oleh kelemahan koordinasi antara JTU Sabah dan ESSCOM,“ menurut laporan itu.

LKAN mengemukakan enam syor termasuk melantik kontraktor penyiap dengan segera untuk elak kelewatan tambahan.

Pihak kementerian dan agensi terlibat perlu melaksanakan pengurusan dan pemantauan kontraktor dengan lebih kerap.

Kerajaan pula perlu menuntut pampasan daripada syarikat mengikut klausa kontrak sedia ada.

Koordinasi antara Kementerian Dalam Negeri, ESSCOM, JKR dan JTU Sabah juga perlu ditingkatkan. – Bernama