KUALA LUMPUR: Sebuah gudang menyimpan tayar, bateri dan buggy di Taman Perindustrian KIP Sungai Buloh, Selangor musnah dalam kebakaran lewat tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata bagaimanapun kebakaran tersebut tidak melibatkan sebarang mangsa.
“Bomba menerima panggilan kecemasan pada 12.54 tengah malam dan api berjaya dikawal pada 2.07 pagi tadi. Kejadian menyebabkan 85 peratus gudang itu musnah,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Operasi pemadaman melibatkan pasukan dari lapan balai bomba dan penyelamat, dibantu oleh 13 anggota bomba sukarela berhampiran, serta anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, Ketua Zon Shah Alam Penguasa Kanan Bomba 1 Ahmad Zaidi Safuan berkata longgokan bahan mudah terbakar seperti tayar dan pelbagai jenis bateri memberikan kesukaran kepada anggota JBPM Selangor memadamkan sepenuhnya kebakaran di gudang berkenaan.
Beliau berkata pihaknya juga menghadapi kesukaran untuk memasuki gudang itu bagi melakukan kerja pemadaman susulan terdapat runtuhan pada struktur gudang berkenaan yang menghalang anggotanya untuk masuk.
Susulan itu, pasukannya menggunakan kaedah pemadaman api dari atas dengan menggunakan jentera Aerial Ladder Platform.
“Pihak bomba juga telah memohon wakil syarikat untuk mendapatkan mesin pengorek untuk mengalihkan runtuhan struktur bumbung gudang berkenaan bagi membolehkan anggota bomba memadam sepenuhnya kebakaran,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Beliau berkata gudang yang menyimpan tayar, bateri dan buggy telah musnah sepenuhnya akibat kebakaran berkenaan dan hanya bangunan pejabat tiga tingkat di hadapan gudang berkenaan berjaya diselamatkan.
“Ketika bomba sampai ke lokasi pada 1.13 pagi api menjulang tinggi dianggarkan lebih daripada tiga tingkat bagaimanapun api dapat dikawal pada 2.07 pagi,” katanya