KOTA BHARU: Hampir 300,000 rakyat Malaysia dijangka berkunjung ke Thailand sepanjang musim cuti perayaan Deepavali yang bermula Rabu, kata Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi.
Beliau berkata jumlah itu hampir sama dengan yang direkodkan ketika cuti umum lain, dengan paling ramai masuk ke Thailand melalui Bukit Kayu Hitam yang bersempadan dengan pekan Sadao, Songkhla di samping pintu sempadan di Padang Besar dan Rantau Panjang.
“Apa yang penting, bawa bersama dokumen diperlukan termasuk insurans dan geran kereta asal bagi yang menggunakan kenderaan persendirian untuk menggelak sebarang masalah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Difahamkan berdasar rekod Lembaga Pelancongan Thailand, seramai 3.7 juta pelancong Malaysia berkunjung ke negara berkenaan mulai Januari hingga September 2024.
Ahmad Fahmi turut menasihatkan pemandu Malaysia termasuk penunggang motosikal berkuasa tinggi supaya berhemah di jalan raya Thailand, memandangkan banyak aduan diterima pihaknya mengenai isu tidak mematuhi had laju ditetapkan dalam kalangan pelancong.
“Kita tidak mahu berlaku insiden tidak diingini, kerana jalan raya di Thailand banyak lokasi pusingan-U yang sering digunakan penunggang motosikal,” katanya.
Mengenai cukai perjalanan 300 baht (RM38.65) yang ingin diperkenalkan Thailand tahun depan kepada pelancong asing, Ahmad Fahmi berkata perkara itu masih di peringkat kajian dan pihak terlibat sedang meneliti implikasi pelaksanaannya.