SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengarahkan semua hasil kajian dan perbincangan berkaitan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) dan rangkaiannya dibentangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata kajian dan perbincangan berkaitan penglibatan GISBH dalam penyebaran dan amalan ajaran yang menyeleweng daripada agama Islam sejak telah dilaksanakan sejak 2020.

Beliau berkata perkara berkenaan telah dibincangkan secara serius dalam beberapa siri perbincangan dan mesyuarat di peringkat jawatankuasa MAIS sebelum berita berhubung tangkapan dan siasatan polisterhadap penghuni di beberapa rumah amal dikaitkan dengan syarikat berkenaan tular, baru-baru ini.

“Bagi memutuskan persoalan berhubung penglibatan GISBH dan rangkaiannya dalam penyebaran dan amalan ajaran menyeleweng daripada agama Islam sebenar, MAIS mengarahkan semua hasil kajian serta perbincangan dibuat sebelum ini dikemukakan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

“...agar persoalan berkaitan hukum syarak ini dapat diputuskan dengan segera oleh berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Aziz berkata hasil kajian berkenaan turut merangkumi isu penglibatan GISBH dalam ajaran Kumpulan Al-Arqam dan rangkaiannya yang telah diharamkan menurut fatwa yang diwartakan di Selangor pada 4 Feb 1993, 11 Ogos 1994 dan 21 Dis 2006.

“Tindakan ini dibuat selaras dengan Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

“MAIS dan semua agensi hal ehwal Islam Selangor sama sekali tidak berkompromi dengan GISBH atau rangkaiannya atau mana-mana pihak lain yang terlibat dengan kesalahan akidah,” katanya.

Beliau berkata gerakan bersepadu antara semua agensi berkaitan akan diperhebat untuk memastikan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap mereka melakukan kesalahan jenayah tersebut mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.